Latar Belakang

Latar Belakang

1.      Mantan Y.A.B Perdana Menteri pada 7 Januari 2010 dalam pertemuan dengan Presiden dan wakil Majlis Peguam Malaysia (MPM) telah dimaklumkan bahawa berdasarkan statistik terdapat kira-kira 80% tertuduh dalam kes jenayah tidak diwakili peguam untuk membela mereka di mahkamah. 

2.      Pada masa tersebut, terdapat beberapa penyedia bantuan guaman termasuk  Jabatan Bantuan Guaman (‘JBG’) (dahulunya dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman), Pusat bantuan guaman yang dikendalikan oleh MPM, dan institusi pengajian tinggi

3.      JBG dilihat pada masa tersebut menyediakan perkhidmatan guaman yang tertumpu kepada kes-kes penceraian. JBG yang telah wujud sejak tahun 1970-an adalah tertakluk di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26]. Walau bagaimanapun, perkhidmatan bantuan guaman dalam kes jenayah di bawah Akta 26 adalah terhad bagi perkara-perkara berikut:

                     (a) rayuan bagi meringankan hukuman yang mana tertuduh adalah tidak diwakili oleh peguam mengaku salah kepada pertuduhan; 

                     (b) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 [Akta 468]; 

                     (c) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336]; dan

                     (d) apa-apa bantuan guaman di bawah seksyen 10 Akta 26.

4.      Pusat Bantuan Guaman yang dikendalikan oleh MPM ditubuhkan pada awal tahun 80-an pula mengendalikan pelbagai perkhidmatan bantuan guaman termasuk kes jenayah. Walau bagaimanapun, perkhidmatan yang disediakan oleh MPM ini tidak dapat dijalankan secara optimum walaupun terdapat permintaan yang tinggi kerana terdapat kekangan sumber kewangan .

5.      Sehubungan dengan itu, terdapat rakyat Malaysia terutamanya mereka yang kurang berupaya dan tidak berkemampuan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kepada keadilan meskipun terdapat penyedia perkhidmatan bantuan guaman seperti dinyatakan di perenggan 2.

6.      Untuk mengisi jurang perkhidmatan bantuan guaman dan memberi akses kepada keadilan, satu Memorandum Jemaah Menteri telah dibentangkan pada tahun 2010 bagi menubuhkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (‘YBGK’) bagi menyediakan bantuan dan nasihat guaman dalam kes jenayah kepada golongan yang kurang berkemampuan dan peguam yang memberi khidmat bantuan hanya diberi bayaran nominal bagi setiap kes yang diwakili sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.

X